Biarpun siri Syurga Yang Kedua yang bersiaran di Astro Prima telah melabuhkan tirai, penonton masih lagi memperkatakan mengenai drama tersebut.

Mengimbas kembali kenangan ketika mula melangkahkan kaki ke set penggambaran, penyanyi Zarul Husin mengakui gembira kerana dapat bergandingan dengan aktres hebat seperti Fasha Sandha dan Siti Elizad.

"Sebagai pelakon baru, saya rasa gembira kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti mereka. Fasha dan Elizad banyak membantu saya dalam menjayakan watak.

"Pada awalnya, saya akui saya agak 'culture shock' dan terkejut ketika mula-mula berlakon disamping mereka, lebih-lebih lagi ketika mahu menjayakan babak mesra sebagai pasangan suami isteri, namun saya berjaya mengatasi rasa tersebut.

"Mereka sangat profesional dan membantu saya. Semuanya hanya lakonan semata-mata dan saya juga tahu batas-batas yang patut saya jaga apabila bergandingan dengan mereka," kata Zarul yang ditemui sewaktu pelancaran single terbarunya, Remuk di Vilej Damansara sebentar tadi.

Vokalis kumpulan Umbrella itu bersyukur kerana buah tangannya itu berjaya menemui peminat selepas hampir dua tahun Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) tamat.

"Alhamdulillah, akhirnya Remuk siap sepenuhnya dan menemui peminat. Selepas GV3, ramai yang menantikan buah tangan terbaru dari saya.

"Saya berharap Remuk dapat menarik perhatian pendengar dan peminat menerima lagu ini dengan hati yang terbuka," katanya lagi.

Bernaung dibawah NADCS Entertainment, lagu Remuk mendapat kerjasama syarikat edaran Indigital dan boleh didengari serta dimuat turun di platform digital seperti Joox, iTunes, YouTube, Spotify dan banyak lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zarul