Hiburan
"Lakonan Dia Sangat 'Bad Ass'" – Penonton Terpegun Aksi Fify Azmi Dalam Wira!
Biarpun pertama kali berlakon untuk watak utama bagi sebuah naskah filem, mutu lakonan pelakon Fify Azmi berjaya mendapat pujian ramai.
Menerusi komen di media sosial serta reaksi daripada penonton yang telah menyaksikan Wira, hampir kesemuanya memuji kualiti lakonan bekas finalis Dewi Remaja edisi 2015/16 ini.
Menurut Fify atau nama sebenarnya Nor Afiqah Mohamed Azmi, 29, dia bersyukur dan terharu apabila usaha untuk memastikan watak tersebut dipaparkan dengan baik telah membuahkan hasil.
"Alhamdulillah kalau orang suka. Bukan senang untuk melakukan semua, bayangkan setiap hari sebelum penggambaran Adrian Teh akan tanya sama ada saya boleh lakukan atau tidak.
"Dia nak pastikan saya betul-betul boleh melakukan watak ini.
"Kalau sakit-sakit badan, bengkak itu sudah jadi perkara biasa buat saya dan rakan-rakan," katanya.
nbsp;
Jelas Fify lagi, dia mendapat tawaran daripada Adrian Teh juga sebenarnya agak lambat berbanding pelakon lain.
“Wira menjadi penampilan pertama saya menjayakan karakter utama dan ia adalah sebuah filem aksi yang menuntut komitmen cukup tinggi daripada saya.
"Saya ada masa dua hingga tiga minggu saja untuk berlatih. Sukar juga catch up apabila pelakon lain sudah mula latihan lebih awal, tapi saya cuba lalukan sehabis baik," katanya.
Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.
Istimewanya filem ini, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda, manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.
Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.
Filem ini telah pun memulakan tayangan di pawagam seluruh negara bermula hari ini, jadi apa tunggu lagi?