Laman Utama
Laksanakan 'Total Lockdown'? 2.8 Juta Orang Risiko Hilang Pekerjaan
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan ada pihak yang mencadangkan supaya melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi (total lockdown) seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lalu.
Menurut Ismail Sabri, sekiranya dilakukan selepas 4 Februari ini, 2.8 juta rakyat berisiko untuk hilang pekerjaan.
"Dalam membuat sebarang keputusan, kerajaan sentiasa menimbang antara kesan kesihatan dan ekonomi terhadap rakyat dan negara. Jika kita melaksanakan penutupan penuh terhadap sektor ekonomi, beberapa kesan terpaksa ditanggung.
"Antaranya seramai 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan dan 2.5 juta pekerja terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Tambah Ismail Sabri, kehilangan pendapatan golongan B40 dalam tempoh sebulan dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 satu keluarga.
"Menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020 hingga Oktober 2020 sebanyak 13,445 syarikat ditutup operasi. Ini bermakna ramai pekerja hilang pekerjaan.
"Ini antara sebahagian kesan yang terpaksa kerajaan pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan.
"Walau apapun, sebarang keputusan berkaitan langkah yang akan diambil kerajaan berhubung memperketat atau melonggarkan PKP hanya akan ditentukan selepas KKM membuat penilaian risiko dan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak serta keputusan oleh Sidang MKN," katanya lagi.
Foto: Malaysia Kini
Must-Watch Video