Penyanyi Khai Bahar melahirkan rasa terharu apabila tiket Konsert Nafas Cinta habis terjual.

Lebih mengharukan, sebanyak 300 tiket membabitkan penonton secara fizikal habis terjual dalam tempoh beberapa selepas dilancarkan pada 30 Disember lalu.

Menurut Khai, tidak terdapat kata-kata yang mampu diungkap melainkan syukur dan gembira.

“Alhamdulillah saya tidak jangka tiket boleh habis dijual dengan begitu pantas. Sejujurnya saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Sudah tentu saya gembira dan teruja kerana ia sesuatu yang cukup membanggakan. Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini memang luar biasa.

“Saya juga nak berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket. Bagi saya ini adalah tanda sokongan anda buat saya tanpa jemu dan tidak pernah putus asa menyokong kerjaya saya.

“Walau dalam apa jua saya buat, baik nyanyian mahu pun lakonan, anda semua tetap bersama saya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media hari ini.

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bakal berlangsung pada 12 Februari depan bertempat di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Bandar Utama jam 9 malam.

Konsert ini juga bakal menampilkan dua penyanyi jemputan iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi manakala penyanyi baru, Ahmad Syafiq, Farra Ahmad dan Syeera Aziz turut menjadi pembuka tirai konsert.

Konsert anjuran syarikat rakaman Nova Music ini juga turut diadakan secara virtual yang dibawakan secara langsung oleh CloudTheatre.