Pernah melalui fasa perceraian, penyanyi Ziana Zain berpendapat aktres Puteri Sarah Liyana akhirnya dapat mengumpulkan kekuatan untuk bangkit dan menyelamatkan diri daripada kemelut rumah tangganya.

Menganggap hati seorang wanita mudah tersentuh, Ziana turut mendoakan segala urusan Puteri Sarah atau siapa sahaja yang berdepan masalah rumah tangga dipermudah.

“Kita nak bagi nasihat dan pendapat pun kita tak tahu macam mana. Tapi satu la, hati wanita ini cepat tersentuh. Kenapa kita dipilih menjadi wanita, boleh jadi ibu, boleh tahan sakit beranak… itulah kekuatan wanita.

“Tapi hanya dia yang tahu kenapa benda itu terjadi. Ada orang boleh terus lepaskan, ada yang boleh tunggu sampai mati, ada orang yang rasanya dah tiba masa untuk cakap tidak, perlu bangun dan selamatkan diri, itu yang saya rasa apa yang Sarah buat.

“Tapi kita harap apa pun jadi, tak kira la Puteri Sarah ke sesiapa saja, semoga Allah sentiasa mudahkan perjalanan hidup mereka. Sebab penghujung hari, tetap kena mohon pada Allah.

“Sebab Dia yang ada semua jawapan dan tidak perlu mempersoalkanNya. Selalu kena bersyukur dengan apa Dia bagi. Orang yang selalu diberi ujian Allah, kita masih di radarNya, jadi kena bersyukur walaupun sakit,” katanya kepada Gempak.

Tiada sebarang tips atau nasihat, Ziana berkata seseorang itu akan lebih kuat jika dikelilingi dengan orang yang positif.

“Bagi saya, setiap orang mempunyai masalah berbeza-beza. Jadi, ada orang yang mengambil masa untuk kumpul kekuatan dan ada juga yang terus ada kekuatan.

“Jadi, tiada tips atau nasihat… anda sendiri bila berdepan dengan masalah itu akan tahu apa nak buat. Sebab itu saya cakap, bila ada masalah, anda kena bersama orang positif. Orang yang positif itu yang akan buat anda kuat,” ujarnya.

Ziana ditemui ketika membuat persembahan istimewa di atas kapal mewah Genting Dream anjuran Resort World Cruises pada Selasa lalu.

Untuk rekod, Ziana sah bercerai dengan talak satu dengan Armin Zaharin pada 12 Julai 2018 selepas bekas suaminya didakwa mencederakan anak-anaknya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.