Penyanyi Ara Johari menjelaskan masih lagi aktif menyanyi walaupun jarang muncul di kaca televisyen.

Menurut Ara, dia tidak menghilang sebaliknya mengambil masa untuk menghasilkan single terbaharu berjudul Tetap Aku Cinta.

“Saya sebenarnya tidak menghilang dan masih lagi aktif menyanyi, cuma mengambil masa mengumpul bahan yang sesuai untuk single yang seterusnya.

“Pada masa yang sama saya juga sedang sibuk menguruskan perniagaan makanan yang baru dijalankan pada bulan Disember tahun lalu.

“Alhamdulillah kini saya bersedia membuat comeback dengan single terbaru yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan,” katanya.

Mengulas mengenai single terbaharunya, Ara memberitahu Tetap Aku Cinta yang bergenre balada rock moden itu menceritakan tentang cinta terhadap seseorang yang dikasihi.

“Berkisarkan tentang seseorang yang menghargai cinta terhadap kekasihnya dengan menyerahkan sisa-sisa hidupnya bersama, walau pelbagai rintangan yang datang, namun dia tetap setia sehingga ke akhirnya.

“Idea bagi susunan muzik ini sebenarnya daripada sayha sendiri kerana mahukan sesuatu yang berbeza. Ini merupakan kolaborasi kedua bersama Amy dan Furhan selepas Racun Hati,” ujarnya.

Tetap Aku Cinta dicipta oleh komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Tetap Aku Cinta boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Lagu ini juga boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.