Laman Utama
“Lama Tak Keluar Rumah, Aafiyah Sampai Teruja Tengok Kereta, Lampu Jalan” - Siti Nurhaliza
Perkembangan anak merupakan satu hal yang sangat dititik beratkan oleh semua ibu bapa, khususnya apabila dunia pada hari ini sedang dilanda pandemik COVID-19.
Ramai anak-anak kecil tidak dapat bergaul dengan rakan sebaya sementara banyak sekolah ditutup sehingga memaksa si cilik untuk duduk di rumah dalam jangka masa yang panjang.
Justeru, tidak hairan jika penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil inisiatif menggajikan penjaga yang mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan untuk membantu perkembangan pendidikan anak sulungnya, Siti Aafiyah.
“Sebenarnya bukan mudah untuk memastikan perkembangan anak selari dengan usia pada waktu pandemik. Sungguhpun saya kerap bermain dengan Aafiyah di rumah, namun bagi saya ia tidak mencukupi.
“Sehinggakan saya pernah bawa dia bersiar-siar menaiki kereta, dia teruja melihat kenderaan yang banyak dan lampu jalan sepanjang perjalanan. Mungkin keterujaan itu timbul apabila dia terlalu lama duduk di rumah.
“Disebabkan hal itu, selepas penjaga Aafiyah iaitu Dayah berhenti, saya sengaja memanggil pembantu baharu yang juga bergelar guru. Jadi, Aafiyah dapat menghabiskan masa di rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti selain belajar banyak perkara baharu,” katanya pada Sidang Media Virtual Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua BeauSiti baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu, sungguhpun terpaksa berdepan dengan pandemik, dia berasa bersyukur kerana dapat melihat anak keduanya, Muhammad Afwa membesar di depan mata.
“Alhamdulillah, masuk bulan ini Afwa sudah berusia lima bulan. Walaupun kita terkesan dengan pandemik, namun, saya bersyukur dapat melihat dia membesar di depan mata.
“Sekurang-kurangnya, saya tidak banyak habiskan waktu bekerja atau pergi ke pejabat sehingga kurang masa dengan anak. Selalunya, selepas saya selesai mesyuarat virtual, saya sudah boleh menjenguk anak-anak saya dan melayan mereka,” ujar Siti lagi.
Siti bernikah dengan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, Siti dan suami dikurniakan sepasang cahaya mata, Siti Aafiyah, 3 dan Muhammad Afwa yang berusia 5 bulan.
Must-Watch Video