Filem
Lambakan Filem Hollywood, Pengarah AADC 2 Luah Kebimbangan
Pengarah filem Ada Apa Dengan Cinta 2, Riri Riza menjelaskan mengalami cabaran yang sama dialami oleh Malaysia untuk menarik minat penonton Indonesia ke pawagam.
Menurut Riri, 45, antara punca utama ialah lambakan filem luar negara yang dibawa masuk sepanjang tahun memberi saingan besar kepada karya-karya tempatan.
“Saya tetap mengharapkan lebih banyak pawagam dibuka untuk memberi peluang kepada peminat dan penonton filem-filem tempatan di Indonesia.
“Kebanyakan hanya dapat ditayangkan di bandar-bandar besar sahaja seperti di Jakarta atau Tanah Jawa. Tambahan pula filem Hollywood kini mendominasi pawagam di Indonesia.
“Rasanya hampir 200 buah filem diimport dari Hollywood dan bersaing dengan karya-karya tempatan,” luah Riri Riza kepada Astro Gempak.
Riri Reza ditemui sewaktu sidang media program wawancara SEA Director Focus Astro A-List saluran 456 di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Jelas Riri, dengan penambahan pawagam di Indonesia mampu memberi perkembangan yang lebih positif terhadap industri perfileman di Indonesia dan serantau.
“Kami terpaksa berebut pawagam dengan filem-filem tempatan yang lain mahpun yang datang dari luar.
“Jadi dengan lambakan pawagam di Indonesia, kita mampu melihat potensi perkembangan karya melibatkan pelbagai bangsa (Multiracial) dan keagamaan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejayaan besar filem berbentuk Biopik di Indonesia, Riri percaya ia bergantung kepada pemilihan pelakon dan kekuatan mesej yang disampaikan kepada penonton.
“Kalau kita lihat, filem-filem biopik seringkali dipegang oleh bintang-bintang terkenal seperti Reza Rahadian, Lukman Sardi dan Nicholas Saputra.
“Lebih-lebih lagi jalan cerita yang sangat dekat dengan hati peminat dan penonton di Indonesia,” ujar Riri.
Tambahnya, tidak semua filem di Indonesia mendapat maklumbalas atau sambutan yang baik walaupun menggunakan pelakon dan jalan cerita yang baik.
“Saya rasa di mana-mana negara pun mengalami situasi yang sama. Ada filem secara kritik di anggap baik tetapi secara komersial tidak berjalan dengan baik. Sebaliknya juga yang berlaku terhadap filem-filem komersial.
“Pembikin filem harus mempunyai kepekaan menghasilkan sesebuah karya sesuai dengan waktu yang sesuai untuk ianya ditayangkan. Kombinasi antara cerita serta promosi dan pemasaran yang paling efektif mendatangkan kejayaan besar,” ujarnya mengakhiri perbualan.
SEA Director Focus akan bersiaran bermula Oktober, setiap Rabu jam 10 malam di saluran A-List (456).