Lambakan Konsert Artis Antarabangsa, Awie Mohon Utamakan Artis Tempatan - "Kasihan Pada Bakat ..."
Shahrin Zulkifle
11/10/2022 10:00 MYT
11/10/2022 10:00 MYT
Sejak akhir-akhir ini dapat dilihat begitu banyak sekali penganjuran konsert di negara ini yang melibatkan artis luar negara seperti Indonesia, Korea Selantan dan beberapa lagi.
Boleh dikatakan, hampir setiap minggu akan ada sahaja konsert berskala besar dan sudah pastinya peminat-peminat artis tersebut mengambil peluang membeli tiket untuk berhibur.
Namun, lain pula bagi vokalis Wings, Datuk Awie yang mempersoalkan mengapa terlalu banyak penganjuran konsert yang melibatkan artis antarabangsa.
Jelasnya, peluang untuk menganjurkan konsert seharusnya diutamakan dan diberikan kepada penyanyi tempatan terlebih dahulu.
“Saya sebenarnya dah persoalkan perkara ini lama, di manakah persatuan yang bertanggungjawab mengawal perkara-perkara ini?
“Saya tidak tidak kisah jika ada lambakan konsert yang melibatkan anak tempatan sebab rezeki itu akan datang pada kita sendiri.
“Tetapi yang saya kisah adalah terlalu banyak konsert artis luar negara yang diadakan di Malaysia.
“Kenapa tak beri peluang dahulu kepada anak-anak tempatan, kasihan kepada bakat dan artis tempatan yang saya lihat banyak kelebihan dan boleh diketengahkan,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 53 tahun itu turut berkongsi pengalamannya apabila dia tidak berjaya untuk menganjurkan konsert di Indonesia hanya disebabkan ‘namanya’.
“Saya pernah ada pengalaman untuk buat konsert di Indonesia sekitar tahun 90an, saya tidak benarkan masuk ke negara itu disebabkan nama saya Awie.
“Ini mungkin disebabkan beberapa faktor atau perspektif masyarakat di sana, kerana mereka fikir saya adalah orang berbangsa Cina, jadi saya tidak lepas untuk buat konsert,” kongsinya.
Dalam perkembangan lainnya, Awie dan Wings bakal tampil dalam Konsert Naga Kramat yang akan berlangsung pada 22 Oktober di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket konsert boleh didapati secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat