Penyanyi Adira menafikan tidak memuat naik foto anak ketiganya Anggun, ketika masih bayi kerana pantang larang.

Adira berkata dia menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi foto anaknya itu di media sosial bukanlah sebab ditegah sesiapa atau terikat dengan pantang larang.

“Ramai juga yang tanya, kenapa baru sekarang saya muat naik gambar Anggun di Instagram…ada pantang ke apa ke.

“Sebenarnya tak ada pantang apa-apa pun…Cuma dulu Anggun kan masih kecil, sekarang saya rasa dah sampai masa berkongsi dengan peminat semua.

“Masa Anggerik dan Assan pun saya buat perkara sama. Dah masuk umur tiga ke empat bulan baru saya kongsi,” katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun menurut Adira, dalam masa sama dia hanya mengikut nasihat ibu supaya tidak terlalu ghairah berkongsi foto bayi sebelum tiba masanya.

“Saya menghormati nasihat ibu dan saya ikut…Lagipun nasihat orang tua tak ada yang tak elok untuk kita dengar,” ujarnya.

Sementara itu Adira turut menafikan sedang berbadan dua kerana bentuk tubuh nampak lebih berisi ketika membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34), baru-baru ini.

“Ini bukan hamil tetapi lemak. Saya sedang dalam proses menurunkan berat badan sebab selepas melahirkan anak ketiga ni, lambat pula berat turun.

“Walaupun saya tahu susah nak kurus tapi saya perlu kurus juga kerana hendak aktif dalam bidang nyanyian,” katanya.

Adira ditemui pada majlis sidang media program hiburan terbitan Astro Prima, My Buskers, di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Adira, penyanyi popular lain yang erlibat dalam program ini ialah Ruffedge, One Nation Emcees, Drama Band, Usop, Adira, Lan Solo, Azlan Typewriter, Datuk Awie, Hujan, Datuk Hattan, Jaclyn Victor, Mark Adam, Siti Sarah, Exist, Azharina, Ameng, Black, Neeta, Amelina dan Bunkface.

Program My Buskers bersiaran selama 60 minit sepanjang 11 buah episod dan bakal bersiaran secara ekslusif pada setiap Khamis, jam 9 malam mulai 12 Disember (Khamis) ini di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).