Ketika semua penuntut universiti dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing, lain pula kisah yang dikongsikan oleh felo asrama sebuah universiti tempatan yang dikenali sebagai Danesh Raj Nagarajan.

Katanya peristiwa seram itu berlaku sekitar pukul 3 pagi beberapa hari lepas apabila salah sebuah lampu bilik kolej kediaman yang telah dikosongkan tiba-tiba terpasang.

"Pukul 3 pagi pengetua kolej kongsikan gambar bilik berlampu. Adakah pelajar curi-curi duduk? Tapi semua pintu berkunci.

"Aku mula pelik. Jadi aku dan seorang lagi felo pergi tengok sebab risau ada pelajar langgar SOP.

"Dah jalan sampai pintu kaca aku dengar bunyi orang nangis. Aku pusing belakang tengok takut ada felo bawa anak jalan-jalan ambil angin malam tapi tak ada.

"Dengar bunyi itu semakin kuat dan dekat! Aku toleh belakang tak ada apa, aku mula lari dan suara itu semakin dekat," kongsinya menerusi akaun Instagram.

Apabila memeriksa keadaan bilik terbabit yang masih berkunci, Danesh akui bilik itu kosong dan mustahil untuk pelajar memecah masuk ke kawasan terbabit.

Namun, ketika keluar dari kawasan berkenaan, Danesh sekali lagi terdengar bunyi tangisan terbabit hingga terpaksa bermalam di rumah felo lain kerana terlalu takut.

"Apabila sudah siang, kami memanggil ustaz dan dia meronda satu kolej selepas dengar cerita kami.

"Katanya yang kacau semalam itu perempuan. Terus aku seram," ceritanya lagi.

Difahamkan mengikut cerita Danesh, bahagian belakang blok kolej kediaman itu juga merupakan bekas tapak perkuburan orang asli.

Malah, tapak kolej kediaman berkenaan sudah berusia lebih 60 tahun.

Sementara itu, ada yang percaya bunyi yang dirakamkan dalam video milik Danesh adalah bisikan seperti jampi.

Gempak masih cuba menghubungi Danesh untuk mendapatkan perkongsian lebih jelas mengenai peristiwa seram itu.