Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, mengesahkan kabinet telah bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau Go-Jek di negara ini.

Sungguhpun begitu, kabinet sudah memberi lampu hijau mengenai program itu namun KBS dan Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu tampil dengan perincian undang-undang secepat mungkin.

Menurutnya, beliau menjangkakan KBS dan MOT akan tampil dengan undang-undang yang perlu dalam tempoh dua bulan ini sebelum boleh dilaksanakan.
“Apa saja proses untuk membangunkan ekonomi anak muda perlu mengikut proses undang-undang sedia ada.“Jika terpaksa melonggarkan atau mewujudkan undang-undang baharu, KBS dan MOT akan kaji secepat mungkin sebelum dipersetujui Kabinet,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Tekun Mart Mobile di Putrajaya pada Rabu.

Katanya, undang-undang yang dikaji itu kelak mungkin akan menetapkan supaya Go-Jek tidak boleh ditempatkan di lebuh raya kerana ia mungkin mendatangkan kemudaratan dan keselamatan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu.

Menerusi kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya sebelum ini, Syed Saddiq berkata, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Go-Jek adalah antara syarikat pemula niaga unicorn di rantau ini dan menumpukan kepada rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.
Perkhidmatannya menggunakan aplikasi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima kertas cadangan daripada pelabur swasta dalam perkhidmatan pengangkutan termasuk cadangan daripada perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek.

Katanya, kementeriannya akan meneliti perkara itu dari setiap sudut termasuk implikasi perkhidmatan itu.

“Jika ia mendapat sokongan Kabinet, kementeriannya akan mengambil alih pelaksanaan perkhidmatan Go-Jek dan akan menjalankan kajian terlebih dulu,” katanya.

Sumber/Foto: Harian Metro