Berita
Lan Pet-Pet Nak Bawa Pak Ya Pergi Umrah
Pelawak Lan Pet-Pet merancang untuk membawa pengawal keselamatan, Pak Ya dan isterinya mengerjakan umrah.
Niat tersebut terdetik di hati Lan Pet-Pet selepas bertemu Pak Ya dan keluarganya pada Isnin, di kediaman warga ema situ untuk memohon maaf.
Anggota kumpulan Senario itu juga bersyukur Pak Ya dan dan keluarga, memaafkan dirinya dan melayan dengan baik pada pertemuan itu.
“Berminggu-minggu fikiran saya runsing dan tidak senang hati selagi tidak bersemuka dengan Pak Ya dan keluarga.
“Saya mengambil sedikit masa untuk mengatur pertemuan ini. Saya perlu mencari nombor telefon dan memastikan Pak Ya bersetuju untuk bersemuka.
“Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu.
“Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum,” katanya seperti dilapor Berita Harian Online.
Lan Pet-Pet berkata, dia akan ingat pesanan Pak Ya supaya tidak mengulangi kesilapan.
“Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis, tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu.
“Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti famili sendiri. Saya
merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, insya-Allah,” katanya.
Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.
Lat Pet-Pet mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof atas kesalahan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu membayar denda diputuskan mahkamah. - Berita Harian Online