Laman Utama
Lana Nodin Dedah Kos Pembedahan Hidung Di Korea Hampir RM170,000; “Kalau Buat Di Malaysia Atau Thailand, Ada Pantang Kena Ikut”
Pelakon Lana Nodin mengakui dia tersilap memuat naik video mengenai pembedahan hidung yang dilakukan di Seoul, Korea di Instagram kerana sepatutnya mahu dikongsikan dalam vlog.
Terbuka berkongsi mengenai perkara itu, Lana menerusi siaran langsung di TikTok turut memberitahu kos pembedahan hidungnya mencecah hampir RM170,000.
Menurut Lana lagi, dia tiada niat untuk mengubah ciptaan Allah namun pembedahan itu terpaksa dilakukan disebabkan pernah terlibat dalam kemalangan ketika usianya 19 tahun.
“Kos keseluruhan kira-kira RM166,000. Kali ini agak mahal sebab saya buat langsung tak sakit. Tak ada darah yang terkeluar dari hidung. Esok (hari ini) saya akan buka benang.
“Sebab apa buat hidung? Saya pernah terlibat kemalangan masa umur 19 tahun. Dah empat kali saya buat pembedahan, ini yang terakhir. Saya dah tak nak buat lagi sebab setiap kali guna silikon dan plastik akan ada jangkitan,” katanya.
Terdahulu, menerusi video yang dimuat naik di Instagram Lana mengakui dia telah selesai menjalani pembedahan pada bahagian hidungnya di Seoul, Korea.
Lana yang sedang berjalan-jalan memberitahu tiada lagi bengkak dan lebam pada bahagian wajahnya selain tidak berasa pening dan sakit.
Berkongsi lebih lanjut lagi, pelakon drama Cinta Ibadah ini berkata dia memilih untuk menggunakan tulang rusuk berbanding silikon atau plastik untuk pembedahan kali keempat itu.
“Kenapa tulang rusuk sebab tak nak berulang kali buat. Dan kalau apa-apa terjadi kepada saya, suami saya tak perlu nak buka dan buang plastik sebab saya guna tulang sendiri. Ini kira permanent.
“Kalau buat di Malaysia dan Thailand, ada pantang kena ikut iaitu tak boleh makan telur. Tetapi dekat Korea, tak ada pantang kecuali tak boleh merokok dan minum arak. Dua-dua saya memang tak ambil, jadi senang la,” katanya.
Lana turut menegaskan dia sudah mendapat keizinan daripada suami, David McKienzie dan seluruh ahli keluarga sebelum melakukan pembedahan tersebut.
“Kalau ubah untuk merawat, tak kisah. Sebab itu, arwah ayah, mak dan adik-beradik okey sebab mereka dah tahu. Kalau saya tetiba nak ubah, memang mak saya akan mengamuk.
“Kalau saya seorang yang suka buat pembedahan kosmetik, bibir dah tak macam sekarang. Jangan terlalu nak kecam, saya tau saya bukan artis kegemaran korang," ujarnya.
Sebelum ini, Lana mengakui pernah menjalani pembedahan rhinoplasty bagi membetulkan hidungnya yang patah akibat kemalangan ketika zaman persekolahan.
Must-Watch Video