HIBURAN
Lancar Kotak Warisan Che Ani Premium, Netizen Kritik Macam Tiru Aliff Syukri - "Kenapa Dengki?"
Penyanyi dan usahawan produk Che Ani Premium, Noraniza Idris tampil membidas dakwaan segelintir netizen yang mendakwa pihaknya meniru idea Datuk Seri Aliff Syukri apabila memperkenalkan pembungkusan baharu berbentuk kotak.
Menerusi pelancaran terbaharu Kotak Warisan Che Ani Premium, segelintir pengguna media sosial menyalahanggap reka bentuk kotak tersebut sebagai menyerupai beg yang pernah dikeluarkan oleh usahawan popular itu.
"Datuk Aliff Syukri jual beg, Che Ani nak jual beg juga ke? Sibuk je," tulis seorang pengguna ketika sesi siaran langsung Che Ani Premium bersama Noraniza Idris.
Tidak membiarkan tuduhan tersebut tergantung, Noraniza tampil memberikan respon dan menafikan dakwaan meniru atau menciplak idea sesiapa.
"Kau ni orang Melayu ke apa? Tak reti nak hargai perniagaan tempatan.
"Kalau tengok betul-betul, itu beg ke? Saya rasa kotak. Tak sama dengan beg. Saya buat kotak saja untuk hargai warisan, apa masalahnya?
"Saya keluarkan satu benda yang saya boleh hargai pembeli muruku aku, kenapa dengki?" katanya.
Jelas Noraniza lagi, pengenalan kotak ini adalah hasil maklum balas daripada pelanggan yang sebelum ini kurang berpuas hati dengan pembungkusan asal produk muruku Che Ani Premium yang mudah rosak dan kempis.
"Ramai complaint, packaging cepat rosak jadi kita hasilkan kotak ini untuk meningkatkan kualiti pembungkusan kita dan pastikan pembeli muruku kita berpuas hati. Ada yang complaint setiap kali sampai pecah, pek jadi kempis. Jadi kita sediakanlah kotak.
"Appreciate setiap sen pembeli merupakan satu kesempurnaan yang mereka inginkan. Jadi apa salahnya kita upgrade kita punya packaging," tegasnya.