Kumpulan pop rock popular Floor 88 mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai ikon antidadah tahun 2020 oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna berkongsi momen ketika pelancaran Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2020 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Floor 88 menyanyikan lagu anti dadah. Band ini dilantik menjadi ikon anti dadah 2020,” tulisnya menerusi satu kicauan.

Pada majlis yang sama, kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda, Ayie Elham, Achoi, Akram, Amir, Eric Fuzi dan Falique ini turut mempersembahkan lagu rasmi bagi bulan Anti Dadah Kebangsaan 2020 yang berjudul Chikadun.



Tambah istimewa apabila mereka turut sama melancarkan single terbaru berentak balada berjudul Yang Benar.

Trending nombor dua di laman YouTube biarpun baru sahaja dimuat naik tiga hari lalu, muzik video Yang Benar sehingga kini telah menerima hampir 1.2 juta tontonan.

Terdahulu, kumpulan ini cukup popular menerusi single rancak bertajuk Zalika, Aqilah, Roadblock Hatiku dan Hutang.