Penyanyi Bob Yusof akui menyimpan harapan agar single terbarunya yang berjudul Dan Hari Ini mendapat sokongan daripada peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kata Bob, tidak salah untuk mereka mendengar memandangkan sudah hampir dua tahun dia tidak mengeluarkan buah tangan baharu.

"Nak kata tidak, saya harapkan juga sokongan peminat Datuk Siti untuk turut sama menyokong single terbaru ini.

"Rasanya tak salah untuk peminat menyokong dan mendengarkan single baru ini selepas hampir dua tahun tidak tampil dengan lagu baru," katanya kepada Gempak.

Bob ditemui ketika majlis pelancaran single Dan Hari Ini yang diadakan di Damansara Perdana, semalam.

Terdahulu, Bob adalah individu yang menggantikan Siti untuk melantunkan lagu Anta Permana di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) sekaligus merebut tempat ketiga pada malam tersebut.

Dalam pada itu, pemilik nama Yusrizan Usop menyatakan kejutan Siti berada di pentas AJL34 telah menaikkan bilangan pengikutnya di media sosial.

"Saya akui persembahan bersama kejutan Siti pada malam AJL34 sedikit sebanyak menaikkan populariti dan pengikut saya di laman sosial,” katanya lagi.

Lagu Dan Hari Ini merupakan ciptaan komposer terkenal Sharon Paul bersama Hanz Guo Hang dan mendapat sentuhan penulis lirik popular, Rudy Imran.

Lirik video Dan Hari Ini sudah dilancarkan sejak 28 Februari lalu dan boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.

Selain itu, ia juga boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Joox dan Deezer.