Berita
Lancarkan Album Hari Raya, Rocketfuel Entertainment & Hotel Berjaya Times Square Raikan Anak-Anak Yatim
Seramai 35 orang anak-anak yatim dari Rumah Perlindungan Nurhati diraikan dengan penuh kegembiraan dan keberkatan dalam sebuah majlis berbuka puasa anjuran bersama oleh Rocketfuel Entertainment dan Hotel Berjaya Times Square pada Isnin lalu.
Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran beberapa artis terkemuka negara seperti Lisa Surihani, Hael Husaini, Syamel, Ara Johari, Sufi Rashid, Usop dan Alif Muhaimin.
Majlis berbuka puasa Rocketfuel Entertainment itu diadakan dalam konsep penuh santai dan lebih mesra di mana anak-anak istimewa ini dilayan dengan penuh kasih sayang oleh artis-artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.
Pada Majlis tersebut, Rocketfuel Entertainment telah melancarkan album Hari Raya terbaru terbitan mereka yang berjudul ‘Sempurna Seadanya’.
Album yang menampilkan 10 buah lagu bertemakan perayaan Aidilfitri itu turut mempertaruhkan tiga lagu baru iaitu ‘Sempurna Seadanya’ dendangan Usop, Ara Johari, Masya Masyitah, dan juga Sufi Rashid, selain lagu ‘Seru Hari Lebaran’ nyanyian Syamel bersama Ernie Zakri dan juga lagu ‘Bersyukur Seadanya’ oleh Hael Husaini.
Turut diselitkan bersama adalah dua buah lagu berunsur ketuhanan iaitu ‘Berserah’ nyanyian Zizan Razak dan Ismail Izzani serta ‘Maafkanlah’ oleh Syamel.
Lagu ‘Seru Hari Lebaran’ dan ‘Sempurna Seadanya’ merupakan hasil gubahan komposer veteran S Atan dan lirik oleh Siso. Kedua-dua lagu ini berunsur tradisional namun masih mempunyai rentak moden.
Manakala lagu ‘Bersyukur Seadanya’ pula adalah hasil garapan Hael Husaini sendiri bersama Ezra Kong dan ‘Berserah’ pula dicipta Alif For Magic Potions dan lirik dari Ariz For Talegas Production.
Orang ramai yang ingin mendapatkan album tersebut boleh muat turun dalam bentuk digital sahaja. Ini bermakna ia juga boleh didengari lewat platform pengstriman popular selain dibeli secara dalam talian di aplikasi itunes.
Must-Watch Video