Pelawak dan pelakon Zizan Razak menang dalam rayuannya bagi saman langgar kontrak dikemukakan oleh bekas pengurus, ditolak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Suraya Othman dan Datuk Yeoh Wee Siam mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen menolak saman sivil dikemukakan Marina Juki terhadap Zizan.

Hakim Tengku Maimun yang mempengerusikan panel itu berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf semasa mengubah penghakiman mahkamah sesyen.

Panel itu membenarkan rayuan Zizan yang nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen pada 4 April, 2016 yang menolak saman Marina terhadapnya.

Zizan, 33, bagaimanapun tidak berjaya dalam rayuan keduanya semalam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan balasnya terhadap Marina.

Tengku Maimun menolak rayuan Zizan berkaitan tuntutan balasnya terhadap Marina selepas memutuskan tiada sebab untuk menganggu dapatan kedua-dua mahkamah itu.

Beliau memerintahkan Marina membayar RM10,000 sebagai kos.

Pada 5 Nov, Marina menyaman Zizan mendakwa pelakon itu telah melanggar perjanjian yang ditandatangani dengannya dan syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd pada 3 Mei, 2011.

Beliau mendakwa berdasarkan kontrak itu, Zizan bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi selama empat tahun sehingga 2 Mei, 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marina berkata pada Mei 2014, Astro mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan syarikat penyiaran itu menerusi kontrak bernilai RM2,000,000, yang dibuat tanpa persetujuannya dan Wire Fame.

Marina mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian mereka dengan berpindah ke Astro sebelum tamatnya kontrak mereka, yang menyebabkannya kehilangan 15 peratus komisen daripada pendapatan pelawak itu dari Mei 2014 sehingga tarikh Zizan menandatangani kontrak baharu itu.

Dalam tuntutan balas difailkan pada 9 Jun, 2015 atas dakwaan menyalahgunakan proses mahkamah, Zizan mendakwa Marina telah menerbitkan isi kandungan samannya itu sebelum salinan saman itu diserahkan kepadanya.

Mahkamah Sesyen menolak saman Marina dan tuntutan balas Zizan. Mahkamah Tinggi pada 4 Okt, 2016 membenarkan saman Marina terhadap Zizan tetapi menolak tuntutan balas Zizan terhadap Marina.

Peguam Rishwant Singh mewakili Zizan manakala peguam Harjit Singh Sandhu dan Pramjit Singh mewakili Marina.

Sumber: Bernama