Langgar SOP Anjur Majlis Berkaitan Pilihan Raya, BN Kena Kompaun RM10,000

Fiza Kamarudin
Oktober 28, 2021 07:20 MYT
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya.

Ia termasuklah majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Bagaimanapun pada malam semalam (Rabu), Barisan Nasional telah mengadakan majlis perasmian Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Penganjuran majlis sosial itu didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu satu kompaun berjumlah RM10,000 telah dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong di bawah Akta 342 kerana menganjurkan majlis sosial.

Perkara tersebut telah dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi platform media sosial Facebook dan Instagram, malam tadi.

Terdahulu penganjuran majlis itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial yang kebanyakannya mendesak KKM mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

#Kesihatan #Malaysia” #Kena #Kompaun” #“BN #“Kementerian #“PRN #Melaka”