GAYA HIDUP

Langkawi Bersedia Jadi Spot Pelancongan Mesra OKU, JOKAL 2025 Buka Jalan - "Inilah Accessible Tourism"

Amri Hassan 01/07/2025 | 11:44 MYT
Pulau Langkawi kini bersedia mengorak langkah lebih jauh sebagai platform pelancongan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran Program Jelajah OKU x Asnaf Langkawi (JOKAL 2025) yang berlangsung selama 7 hari 6 malam dan melibatkan seramai 120 peserta dari seluruh negara.

Program yang dianjurkan CMA Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Belia OKU (MBOKU) dan Balai Seni Negara Langkawi ini menumpukan kepada akses fasiliti inklusif, keusahawanan komuniti rentan, serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar

Menurut Presiden Majlis Belia OKU (MBOKU), Mohd Faiz Suhaimi, program ini menekankan fasiliti mesra OKU dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

“Program ini memberi fokus kepada fasiliti mesra OKU serta kelestarian alam sekitar (wildlife), menjadikan tarikan-tarikan di Langkawi lebih inklusif dan sesuai untuk golongan OKU.

Objektif utama program ini adalah untuk menjadikan Langkawi sebagai platform pelancongan yang lebih mesra OKU,” katanya kepada Gempak.

Faiz berkata demikian semasa majlis perasmian JOKAL 2025 di Holiday Villa Langkawi, yang turut menyambung kejayaan program Eksplorasi Belia OKU pada tahun lalu.

Sepanjang program, peserta menyertai lawatan ke lokasi popular seperti Galeria Perdana, Taman Buaya, Kompleks Kraf, Dream Forest dan Underwater World, dengan mengambil kira keperluan aksesibiliti.

Lebih menarik, program ini turut menganjurkan karnival jualan melibatkan 40 vendor, sekali gus memberi peluang kepada peserta menjana pendapatan dan mencuba bidang keusahawanan.

“Ini bukan sekadar lawatan pelancongan, ia disebut sebagai satu 'penjalanan' yang membuka mata kepada potensi besar golongan OKU dan asnaf untuk menghasilkan produk yang mampu menjana pendapatan dan ekonomi mereka sendiri.

"Program ini juga memberi ruang kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan secara aktif,” tambah Faiz.



Tambah Pengarah Program JOKAL 2025, Ally Isyraf, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan bahawa program seperti ini mampu memberi kesan jangka panjang terhadap perubahan dalam sektor pelancongan.

“Kita nampak keterujaan peserta apabila kemudahan yang disediakan benar-benar mengambil kira keperluan mereka. JOKAL bukan sekadar program, tapi satu gerakan membuka mata industri pelancongan bahawa akses untuk OKU bukan lagi satu pilihan tapi ia adalah keperluan,” jelas Ally.

Pengarah Urusan CMA Media, Suraya Saad pula menjelaskan bahawa meskipun banyak lokasi di Langkawi sudah mempunyai kemudahan asas, masih ada ruang untuk ditambah baik.

“Begitupun, tahap kemudahan di Langkawi masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dari segi maklumat pelancongan, kemudahan tandas awam dan kempen kesedaran.

Akses pelancongan yang inklusif juga perlu diperkukuhkan, termasuk penyediaan fasiliti untuk warga emas dan OKU dalam pakej-pakej pelancongan yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Zaslan Zeeha Zaini, turut menyatakan bahawa sektor pelancongan perlu bersedia menghadapi perubahan demografi menjelang Tahun Melawat Kedah dan sasaran Malaysia sebagai negara warga emas menjelang 2030.

“Setiap lokasi di Langkawi menyediakan sokongan logistik mesra OKU, termasuk kenderaan lif hidraulik, pengiring perubatan, bantuan kerusi roda serta sukarelawan mobiliti.

Justeru, lawatan ini bukan sekadar aktiviti santai malah membina inspirasi dan minat baharu dalam kalangan peserta, membuktikan Langkawi mampu menjadi model rujukan pelancongan inklusif,” katanya.

Menurut pihak penganjur, JOKAL bukan sekadar inisiatif sekali lalu, tetapi merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang membangunkan pelancongan inklusif dan lestari di Langkawi.

“Pulau Kentut tu akan jadi dive spot baru selain Pulau Payar di Langkawi.

"Plan yang akan berjalan di Pulau Kentut ialah coral planting yang akan dibuka kepada penyelam dari negara lain juga nanti. Selain itu, projek biorock underwater museum pertama dalam Malaysia juga akan dimulakan di sini,” kata Ally.

Projek ini dijangka bukan sahaja merancakkan ekopelancongan laut tetapi juga memperluas keterlibatan komuniti rentan dalam sektor pelancongan marin selaras dengan misi JOKAL untuk mewujudkan akses dan peluang ekonomi kepada semua.

Selepas kejayaan JOKAL 2025, pihak penganjur merancang untuk membawa program ini ke Sabah dan Sarawak, serta memperluaskan kerjasama pelancongan inklusif ke peringkat antarabangsa, termasuk negara seperti Uzbekistan.
#Pelancongan #Langkawi #OKU #Lawatan #JOKAL