Lantikan Hakam Selesai Kemelut Rumah Tangga Zahnita, Abdul Zachkery
Kemelut rumah tangga membabitkan bekas model dan pelakon, Zahnita, dan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, kini berada dalam fasa penyelesaian apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang melantik hakam bagi kedua-dua pihak.
Peguam syarie mewakili Zahnita, Nur Ashikin Abdul Rahim berkata, lantikan hakam dibuat bagi membolehkan rundingan lanjut dilakukan sebelum laporan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya berhubung tuntutan cerai yang difailkan anak guamnya.
"Tadi, sudah selesai lantikan hakam keluarga bagi kedua-dua pihak bagi ke perceraian dan kini kita menunggu proses rundingan kedua-dua pihak.
"Bila sudah ada laporan daripada keluarga (pihak hakam yang dilantik) sebelum ia dibawa semula ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi prosiding di Mahkamah Syariah Kuantan pada Jumaat.
Tiga kes disebut melibatkan permohonan perceraian, tuntutan perintah injunksi bagi menghalang gangguan serta permohonan hadanah meliputi hak lawatan dan bermalam terhadap anak pasangan berkenaan.
Difahamkan abang Zahnita, Mohd Julian Hussein Wilson manakala Abdul Zackery pula, melantik birasnya sebagai hakam dalam proses rundingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nur Ashikin memaklumkan, Zahnita turut memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang anak sulungnya daripada terus ditemu bual oleh media.
Katanya, permohonan itu difailkan Januari lalu, selepas remaja tersebut dikatakan menerima kecaman dalam media sosial selepas muncul dalam satu temu bual sebelum ini.
“Anak sulung sudah berusia 18 tahun, tetapi masih dalam perhatian ibu. Jadi, kami mohon agar tiada lagi pendedahan dilakukan oleh pihak bapa atau mana-mana pihak lain yang boleh menjejaskan emosi dan privasi anak itu,” katanya.
Selain itu, Nur Ashikin berkata, Zahnita menuntut semula barangan peribadinya yang masih berada di kediaman kelamin mereka.
"Setakat ini hanya pasport milik Zahnita berjaya dikembalikan," katanya.
Menjawab mengenai hak penjagaan anak, Nur Ashikin memberitahu, mahkamah sebelum ini telah memberikan hak jagaan sementara kepada Zahnita terhadap tiga anak mereka yang masih di bawah umur 18 tahun pada 28 Februari lalu.
Jelasnya, anak sulung yang berusia 18 tahun tidak tertakluk kepada permohonan hadanah dan prosiding seterusnya bagi tuntutan hak jagaan kekal ditetapkan pada 19 Mei ini bagi pengurusan kes lanjut.
“Perintah jagaan sementara telah diperoleh dan kini kami sedang melengkapkan semua dokumen untuk tuntutan jagaan kekal,” katanya.
Sementara itu, Zahnita berharap agar semua pihak menghormati privasi anak-anaknya dan tidak lagi menjadikan mereka mangsa dalam konflik rumah tangga yang sedang dihadapi.
“Saya mohon sangat kepada mana-mana pihak, tolong jangan libatkan anak-anak saya lagi.
"Cukuplah mereka terkesan dengan apa yang berlaku dan kasihan mereka,” katanya.
Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto di Instagram memaparkan bahagian mata kirinya lebam.
Dakwa bekas model dan pelakon itu, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Abdul Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Abdul Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.
Bagaimanapun Abdul Zackery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.
Dia memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan diwakili peguam syarie dari Asyikin Partners.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zahnita mendapat hak hadanah sementara terhadap empat anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.
Pada Mac lalu, Abdul Zackery memaklumkan, pihak mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat orang anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.
Zahnita dan abdul Zackery mendirikan rumah tangga pada 2005.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.
Sumber: Astro Awani menerusi Sinar Harian