Lapangan Terbang Di New Zealand Hadkan Masa Berpeluk Kepada 3 Minit
24/10/2024 12:55 MYT
Sebuah lapangan terbang di New Zealand telah menetapkan had masa selama tiga minit bagi sesi pelukan di zon turunnya.
Had Masa Berpeluk
Menurut laporan Sky News, Lapangan Terbang Antarabangsa Dunedin, di Pulau Selatan New Zealand itu menyediakan bahagian tempat letak kereta lain bagi sesiapa yang ingin mengucapkan selamat tinggal yang lebih lama.
Ia merupakan peraturan baharu sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk meningkatkan keselamatan dan memastikan aliran trafik lancar di zon itu.
Malah, papan tanda juga telah diletakkan untuk memaklumkan orang ramai mengenai peraturan baru tersebut dengan "Masa pelukan maksimum tiga minit".
Terdahulu, papan tanda hanya mengingatkan pemandu bahawa kereta yang dibiarkan tanpa pengawasan akan berisiko disita dan dikenakan bayaran NZ$70.
Tempat Beremosi
Ketua Pegawai Eksekutif lapangan terbang itu, Daniel De Bono, memberitahu Radio New Zealand (RNZ) lapangan terbang adalah "tempat beremosi" dan memetik kajian yang mencadangkan pelukan 20 saat cukup lama untuk melepaskan oksitosin, "hormon cinta."
Beliau berkata pergerakan penumpang yang pantas membolehkan lebih ramai orang mendapat lebih banyak pelukan.
Malah, papan tanda itu juga menjelaskan kepada sesiapa yang ingin "perpisahan yang baik" harus pergi ke tempat letak kereta, di mana ianya percuma untuk 15 minit pertama.
Sumber: SkyNews