UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Bollywood

Laporan Cap Jari Tidak Sepadan Dengan Suspek Tikam Saif Ali Khan

Gempak 29/01/2025 | 01:55 MYT

Laporan cap jari yang dikumpul dari rumah pelakon Bollywood terkenal, Saif Ali Khan, yang cedera ditikam pada 16 Januari lalu, didapati tidak sepadan dengan cap jari suspek.

19 Januari lalu, polis Mumbai menahan seorang warga Bangladesh berusia 30 tahun kerana didakwa menceroboh kediaman Khan.

Suspek, Shariful Islam Shehzad, didakwa menikam Khan, ketika cubaan pecah rumah di kediamannya di Bandra, Mumbai.

Serangan itu mengejutkan industri filem negara dan penduduk Mumbai.

Ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan keselamatan di bandar itu dan menjadi isu utama dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung di Delhi.

Menurut syarikat media India, NDTV, polis Mumbai menghantar cap jari yang ditemukan di rumah Khan ke Biro Jabatan Siasatan Jenayah Negeri.

Laporan yang dihasilkan sistem itu menunjukkan cap jari tersebut tidak sepadan dengan suspek berusia 30 tahun terbabit.

Malah, laporan awal juga menunjukkan ia berlawanan dengan tertuduh yang ditangkap.

Pengguna media sosial juga menegaskan wajah suspek tidak menyerupai lelaki yang dilihat meninggalkan rumah pelakon itu dalam rakaman kamera pengawasan.

Pegawai polis, Dikshit Gedam pula berkata, orang ramai di media sosial tidak sepatutnya bertindak sebagai detektif dalam talian.

Khan mengalami pembedahan selepas mengalami kecederaan akibat ditikam di tulang belakang, leher dan tangan.

Pelakon tersebut sudah dibenarkan pulang dari hospital pada 21 Januari lepas.

Sumber: Astro AWANI
#Saif Ali Khan #Jenayah #Rompak #Suspek
;