Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelar laporan bahawa agensi itu tidak terlibat dalam pengurusan banjir kerana kos terlalu tinggi.

Beliau berkata, laporan tersebut adalah suatu yang tidak bertanggungjawab, tidak betul dan mengelirukan banyak pihak.

“Ini adalah laporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak betul serta mengelirukan banyak pihak. Pastikan laporan yang tepat sebelum dikongsi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam laporan tersebut, portal itu menyifatkan NADMA tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Portal itu yang memetik Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, NADMA juga tidak bercadang untuk menempatkan pejabat dan kakitangannya di peringkat daerah kerana ia melibatkan kos yang besar.

“Saya minta wakil rakyat jangan meletakkan sepenuhnya kepada NADMA. Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pusat.”

“Kalau hal ehwal yang berkaitan dengan banjir atau bencana, perlu dikongsi oleh pihak ini (kerajaan negeri dan kerajaan tempatan), jangan bulat-bulat serahkan kepada NADMA di peringkat pusat.”

“Kerajaan negeri melalui wakil rakyat dan Ketua Jajahan ada peranan masing-masing dalam hal ini,” katanya seperti yang dilapor portal itu.

Sumber: UTUSAN ONLINE