Kawalan rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksanakan berkuat kuasa bermula 3 sehingga 16 Oktober depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini.

Namun, katanya, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

"Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

"Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuat kuasa seperti biasa.

"Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-198 dan hari ke-114 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Sumber: Harian Metro