Penyanyi Hael Husaini kini muncul dengan single terbaharu berunsur kerohanian berjudul Nuraga.

Menurut Hael, dia banyak menghabiskan masa lapang di dalam studio sewaktu Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat di dilaksanakan di negara ini untuk menghasilkan beberapa karya terbaharu.

“Alhamdulillah, syukur rasanya apabila dapat kembali bekerja semula walaupun kita masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).

“Namun begitu kebanyakan masa lapang ketika PKPB dihabiskan di studio dengan menyiapkan beberapa projek besar yang masih belum boleh diumumkan lagi.”

“Demam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang melanda negara telah pun reda, pelbagai rintangan terpaksa kami lalui demi menjayakannya dan kini tiba masa yang sesuai untuk kembali dengan karya terbaru yang diberi judul Nuraga.

“Walaupun single ini dilancarkan dekat dengan bulan puasa yang bakal tiba tidak lama lagi, ia bukanlah sebuah lagu spesifik ke arah Ramadan tetapi lebih kepada nasihat yang boleh didengar pada bila-bila masa,” jelasnya.

Tambah Hael lagi, walaupun sesi rakaman yang dijalankan di Studio MFMF mengambil masa yang singkat namun kualitinya tetap dijaga sama seperti kesemua lagu ciptaan mereka sebelum ini.

“Sebenarnya lagu ini telah pun dicipta pada awal tahun 2020 sebelum pandemik COVID-19 bersama rakan komposer, MFMF dan mungkin masa agak kurang sesuai pada ketika itu jadi pada tahun ini kami nekad untuk melancarkannya.

“Untuk single kali ini, saya lari sedikit dari kebiasaan dan tampil dengan lagu bergenre ala nasyid kerana elemen kerohanian yang ada di dalamnya selain unsur nasihat agar bersesuaian dengan mood lagu tersebut.

“Ini juga merupakan pengalaman baru buat MFMF kerana sebelum ini dia tidak pernah menghasilkan lagu sebegini, namun begitu kami berjaya juga menyiapkannya.

“Kalau nak tahu Nuraga bermaksud sifat belas kasihan atau perasaan simpati, ia bertepatan dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang dimana ramai yang sedang menempuh dugaan hidup, dan ada juga yang mengharapkan bantuan atau belas kasihan daripada orang lain yang mampu bagi meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hael juga berharap agar lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar.

“Saya berharap agar single ini boleh diterima baik oleh semua kerana mesej yang cuba disampaikan sangat bermakna.

“Dan saya juga berharap, agar Aidilfitri pada tahun ini kita dapat merayakannya bersama orang tersayang dan tentunya saya akan mengambil peluang ini untuk meraikannya bersama anak saya, Helena, dan keluarga,” ujarnya.

Lagu Nuraga boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala MV lagu Nuraga ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.