Berita
Lari Daripada Imej Penyanyi Nasyid, Fitri Haris Mahu Cuba Genre Berbeza
Lebih dikenali sebagai penyanyi nasyid, Fitri Haris bagaimanapun kembali dengan single terbaru berjudul Wahai Kekasihku yang menampilkan genre yang berbeza daripada imejnya sebelum ini.
Jelasnya, selepas menyertai program Gema Gegar Vaganza (GGV) dia berhasrat membuat sesuatu di mana setiap lagu baru yang dihasilkan mempunyai kesinambungan dalam cerita dengan lagu lain.
"Dalam satu lagu boleh cerita macam-macam dan saya nak bercerita dengan menyeluruh.
"Bukan keseluruhan peribadi saya, tapi satu lagu seperti Wahai Kekasihku, saya mendoakan anak saya yang berada jauh," katanya kepada Astro Gempak.
Akuinya, isu kemasyarakatan seperti hubungan suami dengan isteri yang mempunyai anak dan kemudian berpisah ini malu untuk diceritakan pada orang lain.
"Saya mewakili orang lain untuk menyampaikan mesej dalam lagu terbaru ini.
"Pada asalnya ada 2 lagu iaitu 1 lagu 'slow' membawa genre nasyid tapi saya pilih lagu ini sebab ia 'catchy' dan senang dapat tangkap apabila mendengarnya.
"Saya membesar dengan lagu Slam dan Exist, jadi bila orang dengar lagu kali ini, mereka rasakan ia bukan lagu Fitri UNIC atau Fitri nasyid tapi peminat boleh terima," katanya.
Jelasnya, dia menyertai GGV seperti masuk sekolah tapi percaya setiap lagu yang dinyanyikan mempunyai manfaat.
"Pelbagai genre, ada lagu pelik, orang dengar ini bukan lagu saya. Pelik sebab saya sudah 16 tahun menyanyi lagu nasyid.
"Begitu juga, saya ada dua kumpulan peminat iaitu dari UNIC dan peminat baru tetapi 60 peratus terdiri daripada peminat lama," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
Must-Watch Video