Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Latif Romly Terima Gelaran ‘Datuk’ Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan

Azwa Rahman
08/02/2022 08:20 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly.

Beliau antara 263 penerima yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Latif merupakan atlet paralimpik acara lompat jauh T20 meraih pingat emas di Sukan Paralimpik 2016 Rio de Janeiro dan berjaya mempertahankan kedudukan tersebut dalam temasya yang sama di Tokyo tahun lalu.

Dalam pada itu, turut sama menerima pingat PMW adalah bekas atlet penerjun negara Leong Mun Yee.

Mun Yee bersara pada 31 Disember lalu setelah 27 tahun berjuang di papan anjal, dan merupakan antara penerjun negara yang paling berjaya dengan pelbagai kejayaan termasuk pingat perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan dua emas di Sukan SEA KL 2017.

Sementara itu, atlet pecut paralimpik kebangsaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW), manakala atlet badminton negara Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik pula dikurniakan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W).
#Latif Romly #Wilayah Persekutuan #Leong Mun Yee