Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Latih Graduan FiTA Sebagai Pemimpin, Asah Bakat Menerusi Penerbitan Filem Pendek

Elrafaei Sapi
07/09/2018 13:01 MYT
Graduan lepasan universiti dalam bidang perfileman menjadi aset penting pada masa depan industri hiburan tanah air dalam mempertingkatkan kualiti filem mahupun drama tempatan yang sering dikritik penonton.

Sarjana Kreatif, Fakulti Filem, Animasi dan Teater (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London menyatakan potensi graduan universiti itu semakin mendapat tempat dalam bidang pekerjaaan.

"Sebanyak 70 peratus graduan di sini tidak mempunyai masalah untuk mendapat kerja cuma 30 peratus terbabit dengan bisnes lain," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, kualiti graduan FiTA semakin meningkat apabila mereka juga diberi pembelajaran untuk terbabit dalam bidang perniagaan.

"Ada graduan terbabit dalam bisnes dengan membuka produksi sendiri. Transformasi daripada budaya fikir kepada budaya kerja dilatih pada graduan ketika mereka masih belajar di sini," katanya.

Akuinya, proses pembelanjaran di FiTA turut melatih pelajar untuk menjadi pemimpin seperti seorang pengarah yang gigih untuk berkarya.

"Sekurangnya kita melahirkan satu atau dua pengarah setiap tahun. Biar mereka masuk menyertai pelbagai festival filem dan merasai kemenangan dan tidak hanya melatih mereka dalam kelompok industri tempatan saja.

"Kita kena beri galakan pada graduan untuk menghasilkan filem pendek dan menghantar karya tersebut ke mana-mana pertandingan mahupun ada lebih 8,000 festival filem dalam dunia," katanya.

Ujarnya, meskipun ia hanya pertandingan kecil tapi menjadi profil untuk menyertai festival filem bertaraf dunia pada masa akan datang.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak

#Mat London #FiTA #UiTM
;