Lawa, Tapi Macam Mana Nak Basuh Pinggan? – Netizen Komen Rekaan Baju Raya

Fiza Kamarudin
Jun 10, 2017 05:25 MYT

Setiap kali menjelang Syawal, baju raya mesti beli dan perlu ada setiap tahun! Dan yang paling penting, rekaan perlu ‘meletup’ barulah nampak hebat untuk tatapan rakan media sosial.

Selain rekaan, keselesaan juga perlu diambil kira, maklumlah di pagi Syawal nanti bukan setakat melaram atau ‘pose cantik’ semata-mata tetapi kerja rumah juga perlu dilakukan, terutama kaum wanita.
Baru-baru ini koleksi raya Hijabista Hub menjadi viral selepas rekaan yang dipanggil Marre Pleated Kurung dipertikai netizen.
Antara komen yang paling mendapat perhatian ialah “lawa tapi macam mana nak basuh pinggan?” yang ditinggalkan seorang pengguna laman sosial pada sebuah video yang dimuatnaik di laman Instagram Hijabista Hub.

Selain mempertikaikan rekaan baju tersebut yang bakal ‘menyusahkan’ si pemakai untuk membasuh pinggan, ada juga yang berpendapat ia kelihatan seperti obor-obor, merimaskan dan lebih sesuai dibuat alas meja.
Bagaimanapun, pereka busana tidak melatah sebaliknya memuatnaik sebuah lagi video tutorial cara-cara membasuh pinggan ketika menyarungkan Marre Pleated Kurung.
Tindakan pereka tersebut mendapat pujian netizen kerana bersikap tenang dan tidak melenting walaupun dikecam.

#Viral #Gaya Hidup #Fesyen #Viral