Hiburan
Lawak Perpustakaan, AC Mizal Tegur Peserta MLM 2016
Pengacara popular Datuk AC Mizal menegur para pelawak supaya tidak tampil dengan “Lawak Perpustakaan” sewaktu beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM2016).
AC berkata, MLM sebuah program komedi yang sangat berbeza dan kerap melakukan kesilapan boleh membawa bahaya kepada para peserta.
“Ya, momentum persembahan di atas pentas perlu dijaga. Ingatan kepada para peserta MLM2 2016, setiap saat di atas pentas adalah sangat berharga. Saya tidak mahu lihat peminat dan penonton terdiam kerana peserta tampil dengan “Lawak Perpustakaan” mereka.
“Jika mahu jangka hayat kumpulan kekal sehingga ke peringkat akhir, mereka tidak boleh main-main tetapi perlu serius,” katanya pada majlis sidang media program tersebut di Ramada Plaza Dua Sentral, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, dia turut merasa berbangga kerana para peserta sering tampil dengan idea-idea baru sejak edisi pertama MLM berlangsung.
“Program MLM ini seperti “World Cup” untuk para pelawak di Malaysia. Peminat akan sentiasa menantikan kemunculan program ini sepanjang tahun kerana para peserta sentiasa beri idea lawak yang segar dan baru setiap minggu.
"Saya sangat gembira dan berbangga kerana mereka tidak pernah tampil dengan lawak sama atau yang pernah diguna pakai sebelum ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Mengangkat tema ‘Perisik’, Maharaja Lawak Mega edisi 2016 menyaksikan pelbagai gabungan pelawak membentuk sebuah kumpulan baharu. Seramai 15 kumpulan pelawak bakal menyertai cabaran MLM 2016.
Antara nama-nama besar yang bakal mengegarkan MLM 2016 ialah Bocey, Joras, LOL, Bos, Awok dan Bora. Lebih menarik tahun ini turut menyaksikan penyertaan dua peserta solo iaitu Reza Mukmin dan Kavin Jay.
Saksikan program Maharaja Lawak Mega 2016 setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!
Teks Oleh: Khalid Rahman