Santai! Mungkin itu antara gambaran penonton yang menyertai Festival Wayang Pacak PUDGi yang diadakan di Pusat Urbanisasi Desa Giching (PUDGi) pada 30 Oktober lalu.

Tayangan yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih 300 penonton yang kebanyakannya hadir dari Kampung Giching dan kawasan sekitar Sepang.

Difahamkan, festival tersebut diadakan untuk mengetengah wayang pacak sebagai sokongan kepada industri filem Malaysia yang sedang giat dipulihkan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menariknya untuk festival ini, naskah yang ditayangkan di wayang pacak adalah filem terbitan Kuman Pictures, Roh.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan, majlis dikatakan bermula pada pukul 4.30 petang dengan pertandingan memancing.

Pada 6.30 petang, majlis penyampaian hadiah diadakan oleh Ketua Kampung Giching yang juga telah menerima RM1,000 tunai hasil kutipan yang disampaikan oleh Puan Nani, CEO PUDGi, kepada mangsa banjir Kampung Giching seminggu sebelum itu.

Majlis tayangan pula bermula pada jam 8 malam menerusi satu forum ringkas di mana pelakon utama filem Roh, Nam Ron, bersama penulis skrip, Amir Hafizi dan wakil Kuman Pictures, Amir Muhammad.

Penonton kemudian dihidangkan dengan filem berdurasi 1 jam dan 23 minit sebelum majlis tamat pada tengah malam.

Semua yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka, penggunaan ‘hand sanitizer’ serta mengimbas MySejahtera.

Paling penting, kesemua yang hadir haruslah telah divaksinasi sepenuhnya.

Anda boleh lihat suasana festival yang sangat ‘onz’ di bawah.

Dalam pada itu, bagi yang tidak tahu, Roh merupakan filem yang telah menjadi pilihan Malaysia sebagai wakil ke festival Oscar 2020.

Difahamkan, filem ini sedang ditayangkan di seluruh Amerika Syarikat setelah ia diedar oleh syarikat pengedar filem, Film Movement.

Lebih membanggakan, Roh sudah diterima baik oleh pengkritik Amerika.

Ada yang menggelarkan Roh sebagai filem filem seram di pedalaman Malaysia yang menggerunkan (Variety) dan tidak kurang juga menganggap karya itu sebagai filem seram Malaysia mengerikan (New York Times).

Tidak cukup dengan itu Roh turut diberi skor oleh ia pembaca RottenTomatoes.com rating sehingga 86 peratus.

Jika terlepas untuk menonton di pawagam, Roh juga boleh ditonton di platform striming Netflix!