Tampil dengan penuh kelainan, rangkaian pawagam terkemuka Dadi akhirnya memulakan operasinya di Malaysia!

Mula dibuka menerusi dua cawangan iaitu Pavilion Kuala Lumpur dan Da Men USJ, kedua-dua lokasi tersebut menampilkan konsep dalaman yang serba unik.

Difahamkan, Dadi Cinema Pavilion Kuala Lumpur akan menjadi pawagam pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep menonton wayang di bawah ‘bintang’ melalui Star-Max Hall.

Menerusi jenis pawagam ini, bahagian atas dan tepinya bakal dihiasi dengan tema galaksi dan bintang bergemerlapan.

Projektor laser canggih juga digunakan untuk memaparkan grafik pawagam yang lebih terang dan jelas, sementara sistem bunyi Dolby Atmos pula menawarkan pengalaman audio yang menakjubkan.

Sementara itu, pawagam di Da Men USJ pula direka berlandaskan konsep terbuka ‘street scheme’ yang dihiasi dengan gambar rajah seni bina and tanda isyarat lalu lintas.

Dalam pada itu, Dadi Cinema Pavilion Kuala Lumpur juga menyediakan pengalaman VIP dengan layanan Star+ Hall premium.

Selain itu, anak-anak kecil juga pasti terhibur di Dadi Cinema dengan adanya Lil Star Hall yang mesra keluarga.

Kedua-dua kemudahan ini boleh didapati di kedua-dua cawangan Pavilion Kuala Lumpur dan Da Men USJ.

Tiket boleh diperoleh melalui atas talian, aplikasi Dadi Cinema (Huawei App Gallery & Apple Store) atau di kaunter konsesi di pawagam.