Pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin menolak dakwaan dirimya menggunakan pengaruh isteri yang juga aktres Indonesia, Prisia Nasution untuk mendapatkan tawaran berlakon di sana.

Jelas Iedil, untuk melebarkan sayap di sana dia harus melalui sesi 'casting' sama seperti pelakon lain.

"Saya selalu ditanya soalan sebegini... Sebenarnya, dua filem Indonesia lakonan saya sebelum ini iaitu Toko Barang Mantan dan My Stupid Boss 2, saya pergi ‘casting’, sama seperti pelakon lain.

"Ketika itu saya sudah berkahwin dengan isteri saya. Tidak ada istilah saya gunakan pengaruhnya untuk dapatkan tawaran lakonan di sana," katanya kepada Gempak.

Iedil ditemui di majlis tayangan perdana filem Motif di e@Curve, Damansara.

Tambah pelakon ini, bekerja dengan produksi Indonesia adalah satu peluang yang baik selepas bergelar pelakon selama 10 tahun.

"Saya pergi ke sana atas tiket nama sebagai Iedil Dzhurie Alaudin. Saya melihat peluang ini sesuatu yang tidak harus dilepaskan serta menarik untuk dilakukan memandangkan sudah 10 tahun saya dalam bidang ini.

"Saya terima apa saja peluang yang diberikan di sana tetapi harus sesuai dengan karakter saya," katanya lagi.

Selain Iedil, filem Motif turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Taqim Zaki, Emma Tosh, Azhan Rani dan ramai lagi.

Filem arahan Nadiah Hamzah ini ditayangkan di pawagam bermula 26 September.