Seramai lebih 20 selebriti bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Amaleens bakal menjayakan program amal, Kembara Amal Kasih di Jerantut, Pahang pada 15 dan 16 Mei ini.

Amaleens mengatur lawatan ke daerah berkenaan bagi menyantuni penduduk-penduduk daif dan golongan Asnaf di Jerantut dengan tujuan menyalurkan derma yang telah dikumpulkan hasil sumbangan individu.

Antara artis yang sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam rombongan tersebut ialah Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ziela Jalil, Datin Nina Juren, Aaron Aziz, Maya Matahari, Salwa Abdul Rahman dan Datuk Seri Shah Rezza.

Tidak ketinggalan artis-artis ternama seperti Datuk Yusni Hamid, Nassier Wahab, Rohana Jalil, Datuk Malek Riduan, Azrinaz Mazhar Hakim dan pendatang baharu seni suara tanah air, Kael.

Menurut Penaungnya, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah, setakat ini mereka sudah berjaya mengumpul RM200, 000 untuk disalurkan pada hari berkenaan.

“Selain lawatan rumah ke rumah untuk menyerahkan secara terus sumbangan yang dikumpul, pelbagai aktiviti juga telah disusun untuk mengeratkan hubungan antara penduduk setempat, kerabat istana, artis dan media.

“Dalam masa yang sama, kami amat mengalu-alukan jika ada individu atau syarikat korporat yang mahu memberikan sumbangan tidak kira dalam bentuk wang tunai atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Lawatan berkenaan juga akan turut disertai wakil media tempatan.

Teks Oleh : Syafiqah Jalal