Laman Utama

"Lebih Baik Bunuh Saya" - Rosmah

gempak
Amri Hassan
01/09/2022
21:34 MYT
Sponsor Banner
"Lebih Baik Bunuh Saya" - Rosmah
Datin Seri Rosmah Mansor membuat kenyataan dalam perbicaraan kes rasuahnya dari kandang Mahkamah Tinggi, dalam nada sebak mengatakan beliau kecewa dengan apa yang berlaku.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Rosmah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di sekolah luar bandar di Sarawak.
"Bagi saya mahkamah adalah di mana terdapat keadilan. Saya sentiasa beritahu peguam untuk bercakap benar, itu cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu lebih dan saya hormati keputusan.
"Saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan cara baik. Saya pernah menjadi First Lady of Malaysia'," katanya.
Rosmah berkata beliau tidak mahu menyebut mengenai sumbangannya, namun menegaskan banyak memulakan program untuk kanak-kanak di negara ini.

Bangga sumbangan memajukan kanak-kanak

Katanya, beliau berasa bangga atas sumbangannya daripada pelbagai cara bagi memajukan kanak-kanak.
"Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun," katanya.
Rosmah berkata, beliau juga tidak pernah mengenali sesiapa dalam Jepak Holdings, syarikat yang dianugerahkan kontrak.
"Tiada siapa nampak saya ambil wang tetapi kalau begitu kesimpulannya, saya serahkan kepada Allah.
"Saya tidak tahu pun jumlah kos projek itu sebanyak itu. Saya hanya bercakap benar dan tidak lain hanya kebenaran," katanya.

Rosmah tak terfikir tipu mana-mana persatuan

Rosmah berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk menipu mana-mana persatuan yang dipimpinnya.
"Jadi apabila saya didakwa di mahkamah, saya terkejut. Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya buka mulut, dia (Najib) akan kata awak isteri saya jangan masuk campur," katanya.
Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh mengemukakan rayuan supaya anak guam dikenakan hukuman ringan.
Beliau meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda minimum kepada Rosmah.
"Rosmah mempunyai perwatakan yang tidak tercela dan berbakti kepada negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri terutama dalam membantu anak-anak kecil yang tidak diberi pendidikan.
"Selain itu, program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) dibangunkan Rosmah bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan iasesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh isteri mana-mana Perdana Menteri di negara ini.
"Rosmah juga mempunyai masalah kesihatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah dan orang lain yang terbabit dengan projek itu semuanya bebas sementara hanya beliau didakwa di mahkamah," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menggesa mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan berkenaan.
Katanya, Rosmah berhadapan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima.
"Sebarang keputusan harus membuat mereka yang ingin mengambil rasuah tidak berbuat demikian. Jika hanya penjara sehari, ia akan memberi isyarat salah kepada rakyat.
"Maksimum atau hampir maksimum hukuman perlu diberikan. Korupsi adalah kesalahan serius," katanya.
Sejurus Rosmah mendengar kenyataan itu, beliau mengatakan, "lebih baik bunuh saya."
Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.
Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.
Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Sumber: Harian Metro Foto: Utusan Malaysia
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live