Lebih Banyak Filem Korea Lakonan Artis Malaysia Dapat Ditonton Selepas Ini

Elrafaei Sapi
Jun 27, 2018 09:12 MYT
Produser dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri membawa berita gembira buat industri perfileman tempatan menerusi kerjasama dengan produksi Korea untuk pelaburan filem dan drama di negara ini.
Ujarnya, empat agenda utama sudah dirancang ketika berkunjung ke Korea Selatan sebelum ini disusuli kunjungan delegasi produksi di sana yang membuat lawatan ke sini termasuk singgah ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) semalam.
"FINAS bersetuju untuk mewujudkan sesi Dialog Filem Malaysia dan Korea sempena Festival Filem Malaysia nanti dan kerjasama ini membuka peluang untuk melakukan produksi bersama antara kedua negara," katanya kepada Astro Gempak.
Ahmad Idham memberitahu produksi Korea sememangnya menunjukkan minat untuk melabur di sini untuk penerbitan filem mahupun drama selepas ini.
"Korea mempunyai pelabur untuk melabur di sini. Jadi, kita buka peluang untuk mereka melabur di sini sebelum kita pula melakukan pelaburan di sana," katanya.
Jelasnya, agenda keempat yang diberi perhatian adalah aspek pembangunan bakat dari kedua negara. Menariknya, artis Malaysia diberi platform untuk masuk ke pasaran industri hiburan di Korea.
"Ini adalah usaha AIFA Motion Pictures untuk menarik perhatian produksi Korea berkerjasama dengan kita.
"Malah, kami mengajak mereka ke sini untuk melihat sendiri industri seni Malaysia dan ke FINAS untuk kami beritahu cadangan yang sudah dirancang agar FINAS turut serta memberi sokongan," katanya.
Ahmad Idham menyatakan produksi Korea menyedari komuniti mereka seramai hampir 30,000 berada di negara ini dan tertarik dengan insentif Insentif Galakan Penggambaran (FIMI) yang ditawarkan FINAS untuk penerbitan filem antarabangsa dan domestik di sini.
"Mereka melihat Malaysia sebagai pasaran kedua selepas China untuk pelaburan di negara ini," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @rajailya
#Korea #Ahmad Idham #FINAS