HIBURAN
“Lebih Kepada Fasa Kenal Hati Budi Masing-Masing”- Ismail Izzani
Penyanyi, Ismail Izzani mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga merupakan artis asal Indonesia iaitu Gabriella Ekaputri.
Menurut Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, dia berasa selesa berkawan dengan Gabriella, 24, kerana masing-masing sefahaman selain berada dalam industri hiburan.
“Tak adalah bercinta tetapi lebih kepada fasa mengenali hati budi masing-masing. Kami pun aktif dalam dunia seni, saya di sini dan dia di sana, dua dua anak seni.
“Dia pun ada berlakon dan juga buat lagu. Jadi kami hanya memberikan sokongan antara satu sama lain.
“Saya rasa selesa mungkin kerana dia juga berada dalam satu industri yang sama. Dia pun faham dengan kerja-kerja saya,” ujarnya.
Ismail berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak yatim kerjasama Universal Music yang diadakan di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai hubungan itu, Ismail memaklumkan mereka berkenalan di media sosial sudah hampir setahun.
Bagaimanpun kata Ismail, mereka masih belum sempat bertemu secara berdepan.
"Saya kenal dengan dia melalui sosial media sudah hampir setahun. Nak kata kami menjalinkan hubungan secara terbuka tidak juga.
“Tetapi kami berdua okay sahaja berkomunikasi seperti ini sebab dia pun sejenis orang yang tidak kisah.
“Kadang-kadang ada juga kami berbalas komen di IG dan muat naik hantaran di IG story, itu sahaja.
“Tetapi buat masa ini hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya pun belum berpeluang bertemu dengannya.
“Sekiranya kalau ada rezeki, dia akan datang ke Malaysia atau saya yang akan ke Indonesia,” ujarnya.
Ditanya sama ada sering berasa rimas sering terkait dengan gosip cinta, Ismail memberitahu dia tidak rasa terbeban dengan isu-isu tersebut.
Kata Ismail, sebagai selebriti dia perlu bijak untuk mengawal antara kehidupan peribadi dan sebagai seorang selebriti.
“Saya tak rasa rimas dengan gosip percintaan sebalik nya saya rasa inilah dunia seorang artis. Sejak bergelar artis, saya perlu bersedia untuk berdepan dengan perkara-perkara seperti ini.
“Tidak kisahlah sama ada pelakon atau penyanyi, soalan-soalan macam ni memang akan ada.
“Sebab bagi saya selama dua tahun saya menghilang, apa yang saya belajar adalah untuk bijak mengawal antara kehidupan sebagai artis dan peribadi," jelasnya.
Terdahulu, Ismail pernah menjalinkan hubungan dengan penyanyi Shalma Eliana namun putus di tengah jalan kerana masing-masing mahu memberi fokus kepada kerjaya.