Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Lebih Sedekad Menjanda, Ramlah Ram Tak Gusar Hidup Sendiri - “Jodoh, Ajal & Maut Semua Kerja Tuhan”

Izwan Isa
08/06/2022 07:50 MYT

Mungkin bagi sesetengah orang, hidup berkeluarga dan berpasangan adalah satu hal yang perlu. Namun, menurut penyanyi Ramlah Ram, untuk kembali hidup sebagai seorang isteri adalah satu pilihan yang diletakkan kepada Yang Maha Esa.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkata, dia tidak menolak jika suatu hari nanti dipertemukan jodoh. Namun, Ramlah juga mengakui yang dia tidak mencari peneman hidup baharu buat masa sekarang.

“Beginilah, kalau tanya pada saya, saya memang tidak akan menolak jodoh. Macam saya katakan sebelum ini, jodoh, ajal dan maut semuanya kerja Tuhan.

“Jadi, nak kata saya tolak jodoh tu, tak… Tapi nak fikir tentang hal itu sekarang pun tidak. Sebab saya sendiri tidak terlalu fikirkan tentang ingin kembali berumah tangga buat masa ini,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang berlangsung baru-baru ini.

Ramlah berkata, sungguhpun dia tidak mahu memikirkan tentang jodoh buat masa ini, namun, dia berharap agar Allah SWT mengaturkan hal yang baik-baik untuk kehidupannya pada masa akan datang.

“Hati kita akan terbuka kalau jodoh sudah sampai. Dan apa yang saya harapkan adalah Allah SWT mengaturkan segala yang baik-baik untuk saya.

“Mungkin individu itu seseorang yang stable. Bukan demand atau apa, cuma hal tentang keselesaan itu perlu untuk teruskan kehidupan sebagai suami isteri,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ramlah berkahwin dengan Kamal Roslim pada 3 November 2000, namun mengambil keputusan untuk bercerai pada 20 Mei 2010. Bagaimanapun, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam perkembangan terkini, Ramlah masih belum mempunyai perancangan untuk menerbitkan sebarang single baharu. Cuma, dia kini kembali aktif menyanyi selepas pihak kerajaan membenarkan karyawan-karyawan industri seni untuk kembali bekerja.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana kami dibenarkan untuk kembali bekerja. Perlahan-lahan pendapatan kembali seperti biasa. Maklumlah, sebelum ini selama dua tahun tiada undangan persembahan pentas.

“Jadi, kami berasa sangat teruja dapat kembali bekerja dan bertemu kembali dengan peminat secara langsung,” katanya.

#Jodoh #Ramlah Ram