HIBURAN
Lebih Setahun Nikah Di Songkhla, Marissa Dania & Suami Hadir Ke Mahkamah Untuk Pengesahan Pernikahan - “Prosiding Hari Ini Ditangguhkan Sebab…”
Pasangan sensasi, pempengaruh Marissa Dania dan Ahmad Aslam hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur pada 11.52 pagi, Isnin.
Mahkamah Tetap Tarikh Baharu
Kehadiran anak perempuan kepada pelakon Abby Abadi dan aktor Norman Hakim itu di mahkamah bersama suaminya bagi urusan pengesahan pernikahan mereka yang sebelum ini di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Menurut Aslam, mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan kali kedua namun enggan mendedahkan lebih terperinci untuk prosiding seterusnya.
“Ada masalah sedikit berkenaan permohonan borang pengesahan pernikahan di luar negara, jadi kami diminta untuk mengemas kini maklumat peribadi dan datang semula pada tarikh lain.
“Saya tak boleh ulas dengan lebih terperinci kerana menghormati prosedur mahkamah. Kalau ada apa-apa mungkin peguam saya boleh jawabkan.
“Borang itu sudah lama kami serahkan kepada peguam. Semuanya akan diuruskan pihak peguam,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, peguam syarie mewakili pasangan berkenaan iaitu Muhammad Ammar berkata bagaimanapun pihak mahkamah menangguhkan prosiding itu pada tarikh seterusnya.
“Mahkamah menangguhkan prosiding hari ini sebab ini kali pertama kami hadir. Akan datang siasatan akan disambung. Bila tarikhnya, saya dimaklumkan anak guam untuk tidak memaklumkan,” katanya.
Begitupun Marissa yang jalan beriringan dengan suaminyq hanya mendiamkan diri dari menjawab sebarang pertanyaan media.
Pasangan sensasi itu tiba di mahkamah dengan mengenakan pelitup muka terus bergegas pulang selepas satu jam berada dalam dewan bicara.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi.
Manakala Aslam mempunyai seorang lagi isteri iaitu Umisya Mazlan, mereka mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.