Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) Bakal Dibina Tahun Ini

Ainun
22/07/2024 17:55 MYT
Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula dibina tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pihak pengurusan WISE sudah memuktamadkan kandungan perjanjian konsesi pada minggu lalu.

Beliau berkata, kedua-dua pihak kini sedang meneliti tarikh sesuai untuk mengadakan majlis menandatangani perjanjian itu.

"Saya berjumpa dengan Ketua Pengarah UKAS (Datuk Shamsul Azri Abu Bakar) pada Khamis lalu. Beliau nyatakan sedang mencari tarikh yang sesuai untuk majlis menandatangani perjanjian konsesi itu.

"Jadi setelah selesai, itu bermakna lebuh raya baharu itu boleh mula dibina. Dengan cara beliau sebut itu, bermakna mereka sudah muktamad perjanjian itu," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Santuni Masyarakat Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium Batin.

Pada 14 Disember tahun lalu, Menteri Besar itu mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan cadangan pembinaan WISE, yang akan dibangunkan oleh syarikat konsesi melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta.

Lebuhraya WISE sepanjang 60 kilometer itu dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, seterusnya Kuala Kangsar.

Lebuhraya WISE akan menjadi sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata Kerajaan Perak memohon Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meneruskan Projek Bantuan Rumah Orang Asli untuk masyarakat Orang Asli.

Menurutnya, permohonan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada Majlis Perundingan Orang Asli.

Sumber: Berita Harian

#Perak #Menteri Besar #Saarani Mohamad #Lebuhraya WISE #WISE
;