Gaya Hidup
Lee Chong Wei Beri Penghormatan Kepada Lin Dan
Pemain badminton hebat negara Datuk Lee Chong Wei memberikan kata-kata terakhir kepada pesaingnya Lin Dan selepas pemain China itu mahu bersara.
Menerusi laman sosial Facebook, Chong Wei memuat naik beberapa keping foto istimewa bersama Lin Dan untuk tatapan umum.
“Kamu tahu masanya akan tiba, momen yang berat dalam hidup kami. Awak menurunkan langsir itu dengan penuh sopan-santun.
“Kita adalah raja yang telah berjuang dengan penuh rasa bangga, pukulan terakhir awak telah hilang, di tengah-tengah jeritan sepi,” tulis Chong Wei sebagai kapsyen foto.
Memetik laporan New Straits Times (NST), Chong Wei tidak terkejut dengan keputusan yang diambil oleh Lin Dan.
“Perkara ini memang akan terjadi, inilah kehidupan seorang atlet, masanya akan tiba untuk seseorang itu bersara.
“Saya bermain selama 19 tahun dan Lin Dan pula 20 tahun. Dia layak untuk berehat dan nikmatinya,” ujar Chong Wei kepada NST.
Terdahulu, jaguh badminton China itu mengumumkan persaraannya daripada arena sukan itu menerusi platform laman sosial China, Weibo pada Sabtu.
Pengumuman persaraan ini sekaligus memberi pengesahan bahawa dia tidak akan menyertai Sukan Olimpik 2020 yang akan ditunda pada tahun 2021 susulan pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Chong Wei terlebih dahulu menggantung reketnya pada tahun 2019.
Must-Watch Video