Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan menggalas tugas sebagai Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika pengumuman persaraan jaguh badminton negara itu.

Bagi Chong Wei, pemilihan beliau sebagai ketua kontinjen negara ke Tokyo ibarat ‘mimpi jadi nyata’.

“Impian utama saya memang untuk ke Olimpik Tokyo...Saya masih akan pergi, tetapi tidak bertanding.

“Saya berharap saya boleh dapatkan pingat emas pertama untuk Malaysia. Saya tidak dapat, tetapi saya berharap atlet lain dakan dapat bawa pulang pingat emas pertama negara,” ujarnya menerusi Sinar Harian.

Menurut Syed Saddiq pula, keputusan menamakan Chong Wei atas perbincangan bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei sendiri.“Sebabnya adalah mudah. Kami tidak boleh fikirkan sesiapa yang lebih baik untuk menjulang bendera Malaysia dengan megah.

“Ia juga akan memberikan inspirasi kepada atlet muda kita”, jelasnya lagi kepada Sinar Harian.

Prestasi cemerlang Chong Wei di Olimpik bermula apabila meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 serta Rio de Janeiro 2016.

Beliau sekaligus menjadi rakyat Malaysia pertama layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekali gus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak 1996.