Lee Chong Wei Menangis, Tahan Sakit Bawa Jalur Gemilang Ketika Sukan Olimpik
Amri Hassan
01/09/2020
|
08:28 MYT
Jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei mengimbas semula momen terindah ketika membawa bendera Malaysia ketika perarakan sukan Olimpik di Rio de Jeneiro, Brazil pada 2016.
Cerita Chong Wei, dia terpaksa menahan kesakitan tangan kirinya yang cedera sebelum membawa panji kebanggaan negara ketika pembukaan temasya itu.
"Kami tengah warm-up di stadium dalam persiapan menghadapi sukan Olimpik, diminta training yang lagi intensif.
"Malang sungguh tak berbau, dalam satu pukulan lift, raket terpukul tangan kiri. Tergamam semua.
"I ingat mungkin fracture patah tangan kiri aku. Nasib baik selepas diperiksa doktor, tulang selamat tapi perlu dibalut ais untuk meredakan bengkak.
"Baru ingat nak main kibar bendera macam wayang perang Samurai, terus jam. Amboi! Berat juga si Jalur Gemilang ni! Sakit sangat tangan kiri I nak angkat.
"Diperhatikan kesukaran saya oleh rakan sepasukan, ada yang suruh saya rehat, biar orang lain yang bawa bendera.
"Saya pun minta Sue Bock dapatkan pita selofan dan balutkan tiang bendera dengan tangan I. Biar tambah sekongan dan supaya tidak terlepas bendera kita nanti," kongsinya penuh bersemangat.
Tambah Chong Wei, ketika perarakan bermula, dia akhirnya menitiskan air mata tanda bangganya menjulang bendera Malaysia di persada dunia.
"Kemudian, mulalah perakaran team Malaysia ke dalam Stadium Maracana.
"Terbasah sikit jugak di mata. Bukanlah kerana sakit di tangan, tetapi kebanggaan menjulang bendera Malaysia, menjulang harapan jutaan rakyat Malaysia, menjulang nama negaraku, rumahku, Malaysiaku," kongsinya lagi.