Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Lee Chong Wei Sumbang 50 Tablet Kepada Pelajar Kurang Berkemampuan

Fiza Kamarudin
06/02/2021 12:23 MYT
Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei bakal menyumbangkan 50 buah tablet khas untuk kegunaan pelajar kurang berkemampuan di Parlimen Bukit Mertajam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Steven, hasrat itu disuarakan Chong Wei menerusi satu panggilan telefon pada Khamis sejurus selepas beliau mendapat tahu mengenai program “Asal Cek Mau Pi Sekolah” yang dijalankan Ahli Parlimen itu.

“Wira kita datang menyelamat! Semalam Chong Wei telefon saya setelah mendapat tahu tentang program Asal Cek Mau Pi Sekolah. Kami sempat berbual-bual tentang keluarga masing-masing, kesihatan dan sektor sukan negara.

“Berita baik daripada wira kesayangan kita: Chong Wei akan taja 50 buah tablet Samsung Tab A8 untuk program Asal Cek Mau Pi Sekolah!

“Terima kasih yang amat sangat. Anda memang wira di dalam dan di luar gelanggang. Kam siah (terima kasih)!" tulis Steven.
Wira kita datang menyelamat! Semalam Chong Wei call saya setelah mendapat tahu tentang program Asal Cek Mau Pi...

Posted by Steven Sim on Thursday, 4 February 2021

Difahamkan, tablet itu akan diserahkan kepada keluarga yang tidak berkemampuan bagi kegunaan pembelajaran dalam talian.

Program "Asal Cek Mau Pi Sekolah" itu dilancarkan pada 24 Januari lalu bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Bukit Mertajam.

Program itu menawarkan bantuan seperti perkhidmatan fotokopi kerja rumah percuma, tambah nilai data internet, kelas bimbingan dalam talian percuma, program anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan komputer riba percuma.

Sumber: Astro Awani

#badminton #Lee Chong Wei #Bantu Pelajar Susah #Beri Tablet #Wira Negera