Hiburan
Lee El Tahan Sabar, Disolek Lima Jam Untuk Jadi Nenek Tua Dalam Goblin
Pelakon Korea, Lee El akui bukan senang untuk memainkan watak sebagai seorang nenek tua dalam drama bersiri popular, Goblin.
Menerusi temubual bersama Korea Ilbo pada Selasa lalu, Lee El mendedahkan dia terpaksa disolekkan dengan teknik kesan khas selama lima jam untuk menukarkan wajahnya kepada karakter tersebut.
“Untuk bertukar wajah kepada nenek tua itu sangat sukar sehingga saya tertanya-tanya adakah saya akan menerima tawaran untuk melakonkan watak sebegini lagi?.
“Sebenarnya agak risau juga kerana saya perlu nampak tua untuk watak tersebut dan mengenai persediaan pula saya perlu disolekkan selama lima jam untuk berubah menjadi nenek tersebut.
“Banyak kesan khas yang perlu dilakukan ke atas wajah saya. Selain itu, saya juga perlu mengawal suara dan menggunakan nada yang betul ketika melakonkan watak tersebut.
“Untuk menjadikannya lebih ‘real’ saya juga telah mengubah cara berjalan seperti orang muda kepada gaya orang tua,” katanya.
Dalam pada itu, Lee El juga memberitahu penuls skrip Goblin, Kim Eun Suk juga tidak dapat menyembunyikan kerisauannya terhadap watak nenek tua tersebut.
“Secara jujur, Kim Eun Sook memang agak risau apabila memberikan karakter itu kepada saya pada September lalu.
“Tetapi selepas selesai sesi penggambaran pertama, Kim Eun sook beritahu dia sukakan lakonan saya dan mengatakan saya nampak hebat ketika melakonkan watak berkenaan dan itu membuatkan saya berasa sedikit lega,” ujarnya.
Terdahulu, selain membawa karakter sebagai seorang nenek tua, Lee El juga melakonkan watak wanita muda yang sering memakai pakaian dan gincu berwarna merah.
Goblin telah menjadi fenomena dikalangan peminat drama Korea seluruh dunia sejak ditayangkan pada 2 Disember lalu.
Drama tersebut dibintangi oleh Gong Yoo, Lee Dong Wook, Kim Go Eun, Yoo In Na dan Yook Sung Jae.
Jangan lupa saksikan Goblin setiap Sabtu dan Ahad, jam 11.20 pagi di Oh!K (saluran 394).
Olahan: Mya Amri
Sumber: Allkpop
Must-Watch Video