Laman Utama
Lega, Penjaja Bazar Aidilfitri Boleh Beroperasi Sehingga 2 Pagi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut rayuan daripada penjaja bazar untuk melanjutkan waktu operasi lebih dari pukul 12 tengah malam seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Justeru itu, Bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenar beroperasi hingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam sebelum ini, berkuat kuasa hari ini.
"Kita dimaklumkan pengunjung mula keluar selepas solat isyak dan tarawih dan bila kita benarkan mereka beroperasi setakat pukul 12 tengah malam waktu berniaga terlalu pendek," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata ia sedang diperhalusi dan akan diumumkan minggu hadapan setelah mendengar pembentangan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan SOP perayaan itu termasuk solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya dari rumah ke rumah.
Mengenai sesi persekolahan, beliau berkata sebarang keputusan perlu melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sebarang tindakan termasuk penutupan sementara sekolah dibuat.
"Saya berharap kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan sendiri berhubung penutupan atau pembukaan sekolah kerana ia berada di bawah bidang kuasa KPM, walaupun kita faham (terdapat) kebimbangan daripada ibu bapa.
"Keputusan sekolah ditutup atau buka adalah keputusan KPM setelah berbincang dengan KKM. KKM akan memberi pandangan kepada KPM berdasarkan penilaian risiko," katanya.
Must-Watch Video