Taktik seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan dan mencuri telefon pintar pekerja sebuah kedai serbaneka berhampiran Pekan Sungai Besi, Selangor pada Selasa membawa padah apabila kegiatannya diketahui umum.

Video kejadian itu turut tular menerusi media sosial pada Rabu menunjukkan suspek cuba melarikan diri sambil dikelilingi orang awam.

BERITA TRENDING: Netizen Geram Perangai Warga Asing Berjoli Pakai Kad Debit Orang Tercicir - "Kalau Aku Kena Memang Hantar…

Ketua Polis Daerah Cheras, Zam Halim Jamaluddin mengesahkan kejadian yang berlaku pada 10.45 malam itu berlaku apabila lelaki tersebut kononnya datang ke kedai berkenaan untuk membeli barang.

"Semasa pekerja kedai berkenaan mendapatkan barang yang diminta, suspek bertindak mengambil dan membawa lari telefon pintar yang sedang dicaj di atas meja.

"Suspek bagaimanapun terjatuh ketika melarikan diri sebelum berjaya ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Zam menjelaskan bahawa suspek yang berusia 39 tahun itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Suspek juga direman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berdekatan.

Sumber: Harian Metro/Majoriti