Laman Utama
“Lelaki Dengan Buaya Tak Sama, Tapi Kasanova Tu Buaya” – Ratu Balqis & Mimi Fly Buktikan Mampu Berdikari Tanpa Lelaki
Selepas 15 tahun mencari peluang mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian, penyanyi Ratu Balqis bakal muncul dengan single debut berjudul Buaya bergandingan dengan Mimifly.
Buaya merupakan ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal. Manakala lirik merupakan hasil nukilan bersama Iqie Hugh, Shaqiel Naufal, Ratu Balqis dan Mimifly.
Lagu ini mengisahkan tentang kekuatan seorang wanita yang hidup dikelilingi lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kaum wanita.
Cuba mengetengahkan karakter wanita yang kuat, berdikari, berkerjaya serta berkarisma di dalam mengharungi perjalanan hidup selepas dicurangi dan ditinggalkan, tidak hairanlah lagu ini menjadi istimewa apabila menggandingkan dua penyanyi cantik yang berstatus janda.
“Rasanya ramai yang tahu gelaran lelaki kasanova berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama Casanova yang suka memikat perempuan dan mempunyai banyak kekasih.
“Manakala gelaran lelaki buaya pula berasal daripada peribahasa Melayu iaitu buaya darat yang merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan.
“Dalam lagu ini kami nak buktikan yang lelaki dengan buaya tak sama, tapi buaya dengan kasanova adalah lelaki yang sama,” katanya kepada Gempak.
Mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian sejak berusia 6 tahun lagi, penyanyi Ratu Balqis tidak pernah berhenti mencari tapak untuk berdiri dalam persada seni.
Pemilik nama sebenar Nor Balqis Ahmad Tajudin Balqis pernah menjuarai Bintang kecil RTM 2010 peringkat zon Pantai Timur dan menduduki tempat ketiga dalam program Idola Kecil musim ketiga ketika berusia 11 tahun.
Balqis berjaya juga berjaya menempatkan dirinya sebagai finalis Idola kecil Ultra pada tahun 2014 dan kemudiannya menjadi protege penyanyi Hazama dalam program Mentor Milenia 2017 sehingga ke peringkat separuh akhir.
Mengulas mengenai Buaya, Balqis berkata banyak dugaan terpaksa ditempuh dalam proses penghasilan lagu tersebut.
“Gubahan lagu telah bermula sejak awal tahun ini dan demo pun sudah disiapkan ketika bulan Mac lalu. Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, proses rakaman terpaksa ditangguhkan.
“Bulan Ogos baru dapat masuk studio untuk mulakan rakaman, dan rakaman siap sepenuhnya pada bulan September.
“Walaupun ada banyak aral melintang, saya bersyukur kerana lagu ini akhirnya siap,” katanya yang bernaung di bawah pengurusan Adopt Entertainment.
Ketika ditanya mengapa memilih Mimi Fly sebagai rakan kolaborasi, Balqis berkata ia sebagai tanda terima kasih kepada penyanyi rap tersebut yang telah banyak membantunya selama ini.
“Saya memilih untuk berkolaborasi dengan Mimifly kerana sebagai tanda penghargaan kepadanya yang bukan sahaja merupakan idola saya tetapi juga adalah guru saya selain Hazama, Genervie Kam dan Afif Tirmizie," katanya.
Lagu terbitan Adopt Entertainment dan edaran Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.